Polis Tumpas Kumpulan Pecah Rumah Berbangsa Latin

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis Selangor percaya mereka dapat menumpaskan kumpulan pecah rumah dianggotai empat orang berbangsa Latin, termasuk seorang wanita, yang aktif melakukan kegiatan itu di Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua suspek berumur antara 26 dan 44 tahun, dua daripada mereka masing-masing memiliki pasport Colombia dan Sepanyol manakala dua lagi memegang pasport Colombia ditangkap dalam Ops Pintu pada Rabu dan Khamis lepas.

Kumpulan itu ditahan selepas polis mengesan dua suspek di dalam sebuah kenderaan berlegar-legar di Kota Kemuning dan nombor pendaftaran kereta itu pernah digunakan dalam kejadian pecah rumah di Seksyen 8 Shah Alam, sebelum ini.

Mohd Shukri dalam sidang media hari ini berkata kedua-dua suspek ditahan di Persiaran Kuala Selangor selepas memintas kenderaan mereka dan menemui pelbagai peralatan pecah rumah seperti playar dan sarung tangan dalam kenderaan itu.

Susulan itu, polis menahan dua lagi suspek di sebuah hotel dan pangsapuri di sekitar Lembah Klang keesokannya dan merampas barangan seperti komputer tablet dan riba, jam tangan berjenama, kamera dan barang kemas.

Mohd Shukri berkata modus operandi geng Latin itu melakukan pecah rumah pada waktu pagi selepas penghuni keluar bekerja dan mereka akan menekan loceng pintu pagar sebelum memecah masuk bagi memastikan tiada penghuni di rumah berkenaan.

Kesemua suspek ditahan reman 14 hari mulai semalam, katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis Serdang juga menumpaskan satu lagi kumpulan pecah rumah warga tempatan dikenali sebagai Geng Michael yang aktif di sekitar Kajang, Puchong dan Serdang.

Mohd Shukri berkata pada Rabu lepas, menerusi Ops Cantas polis mengesan sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki di Jalan Klang Lama dan selepas ditahan polis menjumpai pelbagai peralatan pecah rumah di dalam kenderaan itu.

Suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis di Jalan Klang Lama dan menahan dua suspek lain serta merampas sepucuk pistol mainan dan menemui barangan berharga seperti komputer riba dan jam berjenama.

Keempat-empat anggota itu yang berumur antara 27 hingga 46 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati positif syabu. Mereka kini ditahan reman sehingga Isnin. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan