Rumah Ahli Perniagaan Ditembak Individu Tidak Dikenali - Berita Jenayah | mStar

Rumah Ahli Perniagaan Ditembak Individu Tidak Dikenali

Diterbitkan: Selasa, 22 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Seorang ahli perniagaan berdepan detik mencemaskan apabila rumahnya di Taman Rimba, dekat Mentakab, ditembak individu tidak dikenali awal pagi Isnin.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu ahli peniagaan terbabit, Shen Fu Long, 40, bersama isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan kejadian itu, Shen yang juga setiausaha sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan antidadah itu berkata dia terdengar bunyi seperti mercun sebelum bangun daripada tidur dan keluar untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya ketika berjalan untuk masuk semula ke rumahnya, dia terkejut apabila melihat cermin pintu kaca retak dan berlubang seperti terkena satu das tembakan.

Katanya terkejut melihat keadaan itu, dia bergegas masuk ke dalam rumah sebelum menemui tiga lagi das tembakan yang mengenai beberapa peralatan sembahyang di dalam rumah.

"Saya tidak tahu motif sebenar suspek namun saya yakin empat tembakan itu dilepaskan sebagai amaran kepada kami sekeluarga supaya tidak campur tangan dalam urusan membanteras kegiatan penagihan dadah.

"Bagaimanapun, saya menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada polis untuk menyelesaikannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Aziz Salleh berkata siasatan awal mendapati empat das tembakan berkenaan dilepaskan individu tidak dikenali itu mengenai tembok dan bahagian hadapan rumah mangsa.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan peluru jenis .38 yang ditemui di lokasi kejadian berkenaan.

"Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan