Kanak-Kanak Cedera Dilanggar Kereta Diundur Bapa

Diterbitkan: Selasa, 15 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang sedang mengundurkan kereta untuk ke kedai, terlanggar anak lelakinya berusia setahun empat bulan, menyebabkan kanak-kanak itu cedera.

Mohd Farish Hakimi Mohd Faizal kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan keadaannya dilapor stabil.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi di Kampung Kemat, Hulu Terengganu dekat sini pada Selasa, Mohd Faizal Ibrahim, 31, mengundurkan kereta Perodua Viva yang diletakkan di halaman rumah untuk ke kedai, tanpa menyedari anaknya berada di belakang kereta itu.

Mohd Faizal berkata sebelum itu, Mohd Farish bersama abang dan dua saudaranya sedang bermain di beranda rumah.

"Mohd Farish ikut saya masuk ke dalam kereta, namun saya mengangkat Mohd Farish dan letakkan dia semula di beranda sebanyak tiga kali," katanya ketika ditemui di HSNZ di sini.

Selepas meletakkan anaknya di beranda untuk kali ketiga, Mohd Faizal berkata, beliau mengundurkan kereta dan terasa melanggar sesuatu serta mendengar tangisan kanak-kanak di bawah keretanya.

"Bila saya keluar dari kereta, saya melihat anak kedua saya itu berada di bahawa kereta. Saya dan abang ipar terpaksa mengambil kayu untuk menuil kereta bagi mengeluarkan anak saya dari bawah kereta," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan