Lesapkan Duit Keluarga, Lelaki Buat Laporan Palsu Kononnya Dirompak

Diterbitkan: Rabu, 9 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Akibat keterlanjuran berjudi yang mengakibatkan wang RM4,000 milik keluarga lesap, seorang pemuda tempatan sanggup membuat laporan palsu kononnya dia telah dirompak bagi mengelak daripada dikesan.

Ketua Polis Labuan Penguasa Adzhar Othman berkata lelaki itu yang bekerja di sebuah hotel kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat laporan palsu dan masih ditahan reman.

Dia membuat laporan kononnya dirompak pada 4 Oktober dengan tangannya diikat ke belakang oleh sekumpulan empat lelaki.

Telefon mudah alih Samsung Galaxy miliknya turut dilarikan perompak berkenaan.

"Bagaimanapun penipuan yang membawa padah kepada lelaki ini dikesan apabila siasatan rapi polis membawa kepada kejadian sebenar," kata Adzhar.

Beliau berkata laporan palsu kononnya rompakan berlaku di tengah bandar di pulau ini boleh membawa kesan kepada persepsi masyarakat bahawa aktiviti rompakan berleluasa di Labuan dan ini membazirkan masa anggota polis untuk menyiasat.

"Polis tidak ada pilihan melainkan mengenakan tindakan sewajarnya kepada lelaki ini sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan