Polis Berkas Dua Lelaki Bersama 20 Pistol Tiruan

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan dua lelaki bersama 20 pistol tiruan dan selaras busur silang dalam satu serbuan di sebuah kedai di Plaza Amcorp Mall Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata beberapa jenis barangan berbahaya seperti bebola besi yang dipercayai digunakan sebagai peluru pistol tiruan berkenaan, kelopak peluru serta pisau turut dirampas daripada kedua-dua lelaki berusia 28 dan 42 tahun itu.

"Mereka dipercayai mendapat bekalan pistol tiruan ini daripada seorang warga Thailand dengan harga RM600 sepucuk dan menjualnya di pasaran pada harga RM1,200," katanya pada sidang akhbar, Selasa.

Kedua-dua suspek dipercayai menjual bahan berbahaya itu di premis berkenaan sejak dua hingga tiga bulan lepas, katanya.

Beliau berkata ada antara pistol tiruan itu kelihatan 99.9 peratus asli dengan beratnya seakan-akan yang tulen, dan ini sangat berbahaya kerana boleh digunakan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah.

Kedua-dua lelaki telah didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam dan didenda RM800 setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata polis berjaya memberkas tujuh lelaki berketurunan Afrika di Batu Caves pada Sabtu lepas kerana disyaki terlibat dalam jenayah penipuan bungkusan.

Kesemua suspek berumur lingkungan 30 hingga 45 tahun dan ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif ganja.

Selain itu, polis merampas pelbagai model telefon bimbit, komputer riba, dua unit cakera keras, pendrive, modem dan sebungkus daun kering disyaki ganja seberat 2.6 gram.

Beliau berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan seorang jurujual buku lelaki warga tempatan berusia 41 tahun bahawa beliau ditipu sebanyak RM76,100 setelah diperdaya sindiket itu, yang menggunakan wanita tempatan.

Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek juga dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan yang sama sekitar Selangor, terutama di empat kawasan iaitu Serdang, Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam selain negeri Kedah, Melaka dan Johor.

Ketujuh-tujuh suspek ditahan reman mulai Ahad lepas sehingga esok dan disiasat dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

Mohd Shukri juga mengingatkan pemilik kereta mewah agar berhati-hati dengan jenayah samun oleh sekumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Bumper Cha Cha' yang sengaja melanggar kereta mewah dari belakang agar pemandunya memberhentikan kenderaan bagi melihat kerosakan sebelum disamun, bukan sahaja barangan berharga malah membabitkan kereta mewah berkenaan.

Kumpulan yang bergerak aktif di Lembah Klang ini melakukan 30 kes samun dalam tahun ini setakat 4 Oktober lepas, dan polis sedang menjejak tujuh anggotanya di Petaling Jaya manakala enam lagi di Subang Jaya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan