Polis Tumpaskan Dua Sindiket Edar Dadah Dengan Penahanan Dua Lelaki

Diterbitkan: Selasa, 1 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Polis percaya dapat menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini apabila menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7.2 kilogram dalam serbuan di Taman Perling dan Taman Iskandar di sini, akhir bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata hasil penahanan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 27 tahun di Taman Perling, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 4.2 kilogram bernilai RM200,000.

"Serbuan di sebuah rumah di perumahan terbabit dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam, Khamis lepas oleh polis yang bertindak atas maklumat terdapat aktiviti pengedaran dadah," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata selain dadah yang mampu dibekalkan kepada 21,310 orang penagih itu, polis turut merampas sebuah kereta yang dianggar bernilai RM20,000.

Beliau berkata hasil siasatan dan ujian air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati dia negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Mohd Mokhtar berkata seorang lagi lelaki ditahan dalam serbuan di Taman Iskandar dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM60,000.

"Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Jalan Sultanah Aminah, di perumahan itu, pukul 12.15 tengah hari, 20 Sept lepas. "Hasil siasatan terhadap lelaki itu, polis menyerbu dua lokasi dan menemui 28.78 gram dadah disyaki syabu, 13 biji disyaki pil eramin 5 dan tiga kilogram disyaki ketamin," katanya.

Beliau berkata turut dirampas ialah dua kereta, seutas jam tangan Rolex dan sepucuk pistol semi auto jenis Beretta berserta 17 butir peluru 9mm yang ditemui dalam satu daripada kereta berkenaan.

Lelaki yang didapati positif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah itu kini ditahan reman sehingga Sabtu untuk siasatan, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan