Tiga Pelatih PLKN Ditahan Bantu Siasatan Kes Kematian Muhammad Suhaimi

Diterbitkan: Rabu, 25 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Polis pada Isnin menahan tiga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berusia di antara 18 dan 20 bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih di Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah di sini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Johari Yahaya berkata kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh berikutan laporan bedah siasat ke atas Muhammad Suhaimi Norhamidi yang ditemui tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi kem tersebut pada Ahad.

"Laporan mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepala akibat hentakan senjata tumpul.

'Ketiga-tiga pelatih itu direman sehingga 30 September," katanya ketika dihubungi.

Johari berkata polis akan menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan berlaku pergaduhan di antara pelatih itu sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Muhammad Suhaimi, 18, berasal dari Kerdau, meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Rozainor Ramli berkata, sebuah unit khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes itu.

Tinjauan di kem tersebut mendapati pagar kem ditutup dan pelawat tidak dibenarkan masuk.

Seorang pengawal keselamatan berkata dia diarahkan untuk tidak membenarkan mana-mana pelawat atau petugas media memasuki kem itu.

Pengurusan kem tersebut enggan memberikan sebarang komen berhubung insiden itu.

Bapa mangsa, Norhamidi Bakar, 46, berkata dia akan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Jenazah Muhammad Suhaimi dikebumikan di kampung ibunya di Kampung Klebang, Kerdau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan