Tiga Maut Dalam Kemalangan Bas Ekspres & Lori Treler

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULAIJAYA: Tiga maut termasuk seorang akibat serangan jantung, susulan kemalangan membabitkan bas ekspres dan lori treler di Km 45.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sedenak awal pagi Selasa.

Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu bas R. Shashi Umar, 23 dari Bemban, Melaka, penumpang bas warga Indonesia Edi Setiono, 41 dari Tanjung Sengkuang, Batu Ampar, Indonesia dan pemandu treler A. Majid Sadar Mohd, 59 dari Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan.

"Pemandu dan penumpang bas meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler meninggal dunia di Hospital Kulai kerana serangan jantung," kata Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya.

Katanya siasatan awal mendapati kemalangan pukul 5.50 pagi itu berlaku apabila bas yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Baharu tersebut melanggar bahagian belakang treler yang dipandu di lorong kiri lebuh raya.

Ketika kejadian bas itu membawa 21 penumpang yang kebanyakannya warga Indonesia, katanya.

Menurut Zulkefly, 13 penumpang mengalami kecederaan serta dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini, untuk dirawat.

Sementara itu, seorang penumpang bas ekspres yang ditemui di hospital berkenaan, M. Thurai berkata bas itu tidak diperlahankan kelajuannya ketika menghampiri treler tersebut.

Saya rasa pemandu mengantuk ketika kejadian, katanya yang dirawat sebagai pesakit luar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan