Penjenayah Cedera Ditembak Ketika Cuba Ditahan Polis - Berita Jenayah | mStar

Penjenayah Cedera Ditembak Ketika Cuba Ditahan Polis

Diterbitkan: Jumaat, 20 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang dikehendaki polis cedera ditembak apabila cuba menyerang anggota polis yang ingin menahannya di Bukit Teh di sini, Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, lelaki berusia 30-an itu dikehendaki polis mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 Akta Dadah Berbahaya.

"Kami berjaya mengesan lelaki itu di rumahnya pada pukul 9.45 pagi dan suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

"Bagaimanapun apabila menyedari dikepung, dia bertindak menyerang anggota polis dengan dua bilah parang," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata, polis melepaskan tembakan amaran tetapi tidak dipedulikan lelaki itu menyebabkan dua das tembakan dilepaskan ke arah lelaki terbabit yang mengenai kaki kanan dan kirinya.

Mazlan berkata, lelaki terbabit dihantar ke Hospital Bukit Mertajam dan keadaannya dilapor stabil.

Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai tiga kes jenayah lampau berkaitan dadah dan curi, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan