Cuba Serang Polis, Lelaki Amerika Latin Cedera Ditembak - Berita Jenayah | mStar

Cuba Serang Polis, Lelaki Amerika Latin Cedera Ditembak

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seorang lelaki Amerika Latin cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dalam kejadian di Jalan Taman Permai, di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Zainal Abu Bakar berkata kejadian berlaku pukul 12 tengah hari ketika lelaki berusia 30-an itu dan tiga rakannya dikejar anggota polis selepas mereka cuba mengelak pemeriksaan pasukan keselamatan berkenaan.

Kira-kira 40 minit sebelum kejadian, suspek dan tiga rakannya termasuk seorang wanita dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan perumahan di Rasah Kemayan.

"Anggota polis yang menaiki kereta peronda menghampiri MPV itu untuk membuat pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju menuju ke arah bandar Seremban, memaksa pihak polis mengejar mereka sehingga ke Jalan Taman Permai," katanya ketika dihubungi.

Menurut Zainal kenderaan suspek yang memasuki laluan bertentangan kemudian terbabas ke tepi jalan dan semua suspek keluar dari MPV itu serta cuba melarikan diri ke arah kawasan pembinaan berhampiran.

Bagaimanapun seorang daripada mereka berpatah balik dan cuba menyerang anggota polis yang mengejar, menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai pinggang suspek.

"Lelaki itu yang cedera cuba melarikan diri namun polis berjaya menahannya bersama rakan wanitanya sementara dua lagi rakan lelaki mereka berjaya melarikan diri," katanya.

Katanya lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor stabil.

Polis sedang mengenal pasti identiti semua suspek dan punca sebenar mereka melarikan diri daripada pemeriksaan serta menyiasat sama ada mereka pernah terbabit dalam kes jenayah, katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan