Dua Anggota APMM Yang Hilang, Ditemui Dalam Keadaan Baik

Diterbitkan: Rabu, 11 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang ditemui pagi Selasa selepas hilang ketika operasi nelayan asing sejak Sabtu lepas, berada dalam keadaan baik.

Menurut Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Timur Laksamana Pertama Datuk Nasir Adam, kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan dan gembira kerana dapat kembali ke pangkalan.

"Alhamdulillah, kedua-duanya selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat APMM Tok Bali, di sini.

Beliau sebelum itu bersama warga APMM menyambut ketibaan Laskar Kelas II Mohd Ramdhan Hizam dan Laskar Kelas II Mohammad Sabrie Sahibul di pangkalan APMM Tok Bali pada pukul 3.45 petang.

Kedua-duanya ditemui pada pukul 9.20 pagi tadi, kira-kira 95 batu nautika dari pantai Tok Bali, bersama-sama dua nelayan Vietnam yang ditahan ketika operasi pada hari kejadian. Sejurus tiba dengan menaiki KM Tatau, kedua-dua anggota APMM itu kelihatan melambai-lambai tangan ke arah mereka yang menunggu termasuk anggota keluarga masing-masing, sebelum dibawa ke pejabat APMM di situ.

Wakil media yang menunggu bagaimanapun tidak dibenar menemu bual kedua-duanya. Nasir berkata kedua-duanya dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan diberi cuti rehat.

Dalam kejadian pagi Sabtu itu, kru KM Ligitan, Mohd Ramdhan dan Mohammad Sabrie dilapor hilang selepas mereka menaiki bot nelayan Vietnam yang ditahan ketika operasi nelayan asing di kedudukan 102.5 batu nautika dari pantai Tok Bali, bagi tujuan penggeledahan.

Ketika kejadian dua nelayan Vietnam masih berada di atas bot berkenaan, sementara lima lagi sudah dipindahkan ke atas KM Ligitan yang selepas itu bertindak mengejar sebuah lagi bot nelayan Vietnam.

Selepas gagal mengesan bot terbabit, KM Ligitan kembali ke lokasi operasi namun mendapati bot itu berserta dua anggotanya dan dua nelayan Vietnam yang ditinggalkan tiada di situ.

Sementara itu bapa Mohd Ramdhan, Hizam Hasan, 46, dari Kampung Api-Api Parit 1, Pontian, Johor, yang turut hadir bersama keluarganya, melahirkan rasa syukur kerana anaknya dan rakan selamat kembali ke pangkalan dan berterima kasih kepada semua yang terlibat mencari kedua-dua anggota tersebut. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan