Stor Penyimpanan Tong Gas Musnah Dalam Kebakaran Di Sentul - Berita Jenayah | mStar

Stor Penyimpanan Tong Gas Musnah Dalam Kebakaran Di Sentul

Diterbitkan: Rabu, 4 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah stor penyimpanan tong gas dipercayai milik sebuah restoran di Jalan Batu 2 1/2 Jalan Ipoh, Sentul di sini, musnah dijilat api, Rabu.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Kuala Lumpur M.Letchumanan berkata kebakaran kira-kira 3.30 petang itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di tempat penyimpanan berkenaan.

"Pihak bomba menerima panggilan awam pada 3.37 petang sebelum tiba tujuh minit kemudian dan berjaya mengawal api kira-kira setengah jam selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata semasa kejadian tiga pelanggan berada di sebuah restoran berhampiran dengan stor berkenaan dan kesemua mereka dapat menyelamatkan diri.

Katanya, tujuh jentera bomba dengan 45 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian.

Letchumanan mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, menurut saksi kejadian P.Gunaseelan, 42, berkata beliau mendengar letupan kuat dari stor berkenaan sebelum ternampak sebuah tong gas tercampak keluar dari stor penyimpanan itu.

"Saya terus menyelamatkan diri kerana bimbang mungkin ada tong gas yang akan tercampak keluar lagi akibat kebakaran tersebut," katanya yang juga pelanggan sebuah restoran berhampiran tempat kejadian. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan