Polis Berkas 20 Individu, Warga Asing Atas Pelbagai Kesalahan

Diterbitkan: Rabu, 28 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Polis memberkas 20 individu atas pelbagai kesalahan termasuk 16 warga asing yang disyaki melanggar Akta Imigresen dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata kesemua yang ditahan itu adalah sebahagian daripada 76 individu berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun yang diperiksa dalam operasi tiga jam, bermula 5.30 pagi.

"Enam belas orang ditahan mengikut Akta Imigresen dengan 11 daripadanya adalah wanita warganegara Filipina manakala selebihnya warganegara Indonesia," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya dalam operasi di Kampung Kampung Jati, Kampung Belacan, Kampung Pisang dan Batu 4 Jalan Apas, tiga orang ditahan kerana disyaki memiliki dokumen pengenalan diri palsu manakala seorang lagi ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya.

Awang Besar berkata operasi itu yang disertai enam pegawai dan 36 anggota polis, termasuk 10 anggota dari Pasukan Gerakan Am, enam pegawai Imigresen dan dua pegawai Jabatan Pendaftaran Negara, memeriksa 28 buah rumah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan