Lelaki Minta Hutang Maut Ditikam

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Seorang bekas pengutip hutang mati ditikam rakan ketika meminta hutang daripada suspek dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Zahir 19, Taman Malim Jaya, di sini, Jumaat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P. R. Gunarajan berkata Chong Piang Fong, 49, mati akibat tikaman pada bahagian dada susulan pergelutan dengan suspek dalam kejadian pukul 9.15 pagi.

Mangsa yang tinggal di Machap Umboo Baru, Alor Gajah ke rumah suspek yang berusia 25 tahun itu bagi memintanya melangsaikan baki hutang, namun tercetus pergaduhan.

"Mangsa datang dengan membawa sebatang kayu pendek dan mula meminta baki wang yang dipinjam oleh suspek dengan nada tinggi sehingga menyebabkan pergaduhan. Suspek yang berang dengan serangan itu kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan menikam dada suspek," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Katanya mangsa yang mengalami pendarahan teruk kemudian berlari keluar sebelum rebah di luar pagar rumah berkenaan.

Beliau berkata suspek yang merupakan bekas tahanan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) berhubung kes dadah dan dibebaskan dari penjara Batu Gajah, Perak pada Mei tahun lepas, melarikan diri menerusi pintu belakang rumah terbabit.

Namun dia berjaya ditahan oleh polis berhampiran Hotel Formosa Garden, Limbongan di sini kira-kira 10.50 pagi hasil maklumat orang awam, katanya.

Menurut Gunarajan siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek adalah kenalan lama dan mangsa pernah beberapa kali ke rumah suspek dipercayai untuk meminta hutang.

Tiga rakan suspek yang berada di rumah itu ketika kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan kes, katanya.

Menurutnya polis juga akan menyiasat kes itu dari pelbagai sudut selepas mendapati rumah berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup selain menemui beberapa walkie-talkie di dalam rumah terbabit. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan