Dua Termasuk Wanita Baru 3 Bulan Berkahwin Maut Dalam Kemalangan

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Dua termasuk seorang wanita yang baru berkahwin tiga bulan lepas terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di satu selekoh di Jalan Penarik berhampiran Kampung Pengkalan Kubur, Tembila, dekat sini, Khamis.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa wanita Nora Zan Rozali, 24, dari Taman Permint Perdana, Seberang Takir, Kuala Terengganu dan pemandu kereta Abdul Mana Ahmad, 36, dari Felda Tenang, Hulu Besut, meninggal dunia dua jam selepas menerima rawatan di Hospital Daerah Besut (HDB).

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kereta jenis Honda Civic yang dipandu oleh suami mangsa, Ahmad Bakrinuddin Mohd Ran, 24, dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Abdul Mana bersama seorang penumpang.

"Kedua-dua mangsa yang terselamat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan tulang belakang dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian untuk rawatan lanjut", katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Noor Zainy berkata semasa kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan menuju ke Kampung Raja di sini manakala Abdul Mana bersama penumpangnya dari arah Kampung Raja ke Kuala Terengganu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan