Polis Tahan Lelaki Bantu Siasatan Kes Letupan Mercun Di George Town

Diterbitkan: Selasa, 13 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kejadian letupan mercun buatan sendiri yang menyebabkan dua wanita cedera akibat terkena serpihan bahan letupan itu di kawasan parkir di Lorong Love di sini, Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Alor Star, Kedah pada pukul 2 pagi Selasa.

"Pasukan khas yang ditubuh untuk menyiasat kes berkenaan berjaya mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan anggota kami berjaya menahan lelaki terbabit di rumahnya awal pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang semalam, dua wanita termasuk seorang pelancong dari China cedera di kaki apabila terkena serpihan letupan dipercayai mercun buatan sendiri yang diletakkan di bawah sebuah kereta di kawasan parkir di Lorong Love di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan