Polis Ada Maklumat Penting Bantu Selesai Kes Tembak Sanjeevan - Hadi Ho

Diterbitkan: Selasa, 6 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis kini mempunyai beberapa maklumat penting dipercayai dapat membantu dalam menyelesaikan insiden pengerusi badan pemantau jenayah, MyWatch, R. Sri Sanjeevan yang ditembak ketika memandu di Bahau, Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata maklumat yang diperolehi pihaknya itu dijangka mampu membawa polis kepada suspek selain soal siasat ke atas rakan mangsa yang berada bersama beliau semasa kejadian.

"Polis sedang menunggu kelulusan pihak hospital bagi menemu bual Sri Sanjeevan. Kita percaya hasil temu bual itu (polis) akan dapat lebih banyak maklumat yang dapat menyelesaikan kes ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, Isnin.

Terdahulu, Hadi hadir pada majlis pemakaian pangkat serta serah terima tugas jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah(Risikan/Operasi) Bukit Aman yang sebelum ini disandang beliau kepada Datuk Mazlan Mansor serta disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Sri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang pada 27 Julai lepas.

Beliau kini dirawat di Hospital Serdang selepas dipindahkan daripada Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Ekoran kejadian itu, Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas dibantu pasukan kontinjen negeri bagi menyiasat kejadian itu yang disyaki bermotifkan dendam.

Dalam perkembangan lain, Hadi memberitahu sebanyak 130,000 tangkapan dilakukan polis ke atas suspek yang melakukan pelbagai kesalahan di seluruh negara dalam tempoh 18 bulan lepas dan 30 peratus daripada jumlah itu merupakan pelaku jenayah yang sama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah(Risikan/Operasi) Bukit Aman yang baharu Datuk Mazlan Mansor turut menerima kenaikan pangkat kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) berkuat kuasa Isnin yang disempurnakan Mohd Bakri.

Mazlan, 53, menyertai bidang kepolisan pada 1979 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia termasuk sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor pada September 2007.

Pada Jun 2008, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Melaka dan jawatan terakhirnya sebelum menjawat jawatan baharu itu ialah sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Perancangan/Strategi), Bukit Aman pada November 2009. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan