Lima Pelajar Samun Kedai Serbaneka Ditahan

Diterbitkan: Isnin, 5 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima pelajar lelaki setelah dipercayai menyamun sebuah kedai serbaneka di Sri Hartamas di sini Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Aida Abdul Hamid berkata kesemua suspek yang berumur antara 17 dan 19 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Kinrara dan Shah Alam sehari kemudian.

"Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk menyamun termasuk sebuah Perodua Kancil, empat penutup mulut, dua pisau dan satu tukul besi," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata mereka aktif menyamun sejak sebulan lepas dan dipercayai menumpukan kepada beberapa kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek bersekolah dan belajar di kolej di Shah Alam dan Subang. Mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Berikutan penangkapan itu, polis percaya dapat menyelasaikan enam kes samun kedai serbaneka di sekitar Bandar Kinrara dan Kelana Jaya.

Kesemua suspek direman lima hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan.

Sementara itu polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes samun di sekitar Lembah Klang, semasa rondaan di Bangsar pada Sabtu lepas.

"Polis turut merampas satu alat renjatan elektrik, satu pistol palsu, tiga telefon bimbit jenama Samsung, satu Galaxy Tab dan tiga keping surat pajak gadai.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod lampau dan saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu," kata Aida.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan