Polis Tumpas Kegiatan Judi Internet Dalam Rumah Kampung

Diterbitkan: Sabtu, 3 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Polis menyerbu sebuah rumah kampung di kawasan perkampungan Machang Bubuk di sini dan menahan 33 lelaki berumur antara 20 dan 35 tahun yang sedang bermain judi berkomputer tengah malam Khamis.

Jurucakap polis berkata bertindak atas risikan, sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang di ketuai Insp Shazrul Fadly Adnan menyerbu rumah berkenaan pada pukul 12 tengah malam.

"Sindiket perjudian itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan rumah kampung sebagai tempat mereka menjalankan kegiatan judi," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga tempat judi itu serta merampas 28 komputer dan dua modem internet.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata polis akan terus menjalankan operasi membanteras perjudian di daerah itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan