Seorang Suspek Ditahan Bantu Kes Tembak Jalan Mengkuang

Diterbitkan: Rabu, 31 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes peniaga yang parah ditembak di Jalan Mengkuang di sini dua hari lalu.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Sungai Petani, Kedah pada pukul 5 petang semalam dan dia yang tidak mempunyai pekerjaan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Selepas kejadian itu, pasukan khas kita telah menjalankan siasatan dan memperoleh beberapa maklumat sebelum berjaya menahan lelaki berkenaan.

"Lelaki yang berasal dari Kulim, Kedah itu ditahan di Sungai Petani yang dipercayai cuba bersembunyi bagi mengelak dikesan pihak polis," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Mazlan Kesah kepada Bernama.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat sama.

"Kita percaya dengan penangkapan lelaki berkenaan, polis akan dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa iaitu G.Santhana Samy, 30, dan adiknya yang menaiki kereta berhenti berhampiran lampu isyarat di persimpangan di jalan berkenaan sebelum dua lelaki bermotosikal menghampiri kenderaan mereka dan melepaskan beberapa tembakan.

Salah satu tembakan itu mengenai peha kanan mangsa dan dia dikejarkan ke Hospital Kulim oleh adiknya yang memandu kereta itu.

Mazlan berkata mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan polis telah merekodkan keterangannya.

"Setakat ini kita belum tahu motif sebenar kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memanggil beberapa individu untuk direkodkan keterangan mereka," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan