Polis P.Pinang Minta Bantuan Kesan Remaja Perempuan Hilang

Diterbitkan: Sabtu, 20 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang pada Sabtu meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki seorang remaja perempuan yang dilapor hilang dari rumahnya di Bayan Lepas di sini, sejak 6 pagi, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata remaja itu, Yee Tze Wei, 14, dipercayai keluar dari rumah keluarganya di MK 10 Sungai Ara Bayan Lepas dengan pakaian tidur berikutan selimut yang digunakannya ditemui di atas meja luar rumah.

"Bapa remaja itu mendapati anaknya tiada dalam bilik pada pukul 6 pagi ketika mahu mengejutkannya ke sekolah dan dia yang mengalami masalah rabun turut tidak membawa cermin mata bersamanya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Siasatan mendapati, tiada kesan pecah masuk dan remaja berkenaan dipercayai keluar menerusi pintu belakang yang terbuka, katanya.

Menurut Lai, bapa mangsa, Yee Tee Haw, 49 mengakui rumahnya yang terletak di atas bukit itu tidak dikunci pada malam tersebut kerana menunggu seorang lagi anggota keluarga yang pulang lewat.

Katanya, bapa mangsa mendakwa tidak berhutang dengan ceti haram atau berselisih faham dengan mana-mana pihak.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju tidur berwarna merah jambu, berambut lurus paras bahu dan mempunyai ketinggian 152 sentimeter.

Polis mengklasifikasikan kehilangan mangsa sebagai kes culik dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, katanya.

Orang ramai ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Prem Kumar di talian 012-4589864 atau balai polis berdekatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan