Polis Tahan Empat Lelaki Dipercayai Terlibat Culik Ahli Perniagaan - Berita Jenayah | mStar

Polis Tahan Empat Lelaki Dipercayai Terlibat Culik Ahli Perniagaan

Diterbitkan: Khamis, 18 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat empat lelaki untuk berpesta dengan wang tebusan RM10,000 yang diperoleh daripada jenayah culik, tidak kesampaian apabila polis menahan kesemua mereka dalam dua serbuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam serbuan pertama di kawasan perumahan di Kepong pukul 1 tengah hari, polis menahan seorang lelaki yang membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di sebuah hotel bajet di Sri Damansara sejam selepas itu.

"Kesemua suspek berumur 30 hingga 44 tahun. Dalam serbuan di hotel itu, polis turut menahan dua wanita masing-masing dari China dan Vietnam yang ada bersama suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Beliau berkata empat suspek berkenaan ditahan kerana disyaki terlibat dengan kejadian menculik seorang ahli peniagaan berusia 52 tahun yang sedang berjoging di Kepong di sini.

Ku berkata dalam kejadian 6 pagi semalam, mangsa dilarikan empat suspek dengan sebuah kereta sebelum meminta keluarga mangsa membayar wang tebusan RM20,000.

Beliau berkata tindakan isteri dan anak mangsa yang melaporkan kejadian itu kepada polis telah menggagalkan usaha penjenayah berkenaan dan polis turut merampas sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta Toyota Camry, Vios dan Honda Civic yang dipercayai disamun suspek di sekitar Lembah Klang selain beberapa bilah parang dan peralatan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata dengan tertangkapnya empat suspek berkenaan, polis kini memburu saki-baki anggota kumpulan penjenayah itu yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun, peras ugut dan culik di sekitar ibu negara dan Selangor.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 3, Akta Culik 1961. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan