Guru Dalam Perjalanan Ke Sekolah Maut Ditembak Di Kulim

Diterbitkan: Khamis, 18 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Seorang guru maut dipercayai ditembak dua lelaki yang bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Keladi di sini tengah hari Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata K.Shanmugam, 45, didapati dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta Toyota Wish miliknya.

Kejadian berlaku kira-kira 12.25 tengah hari tadi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.

Beliau berkata dua lelaki tersebut dikatakan telah mengikuti kereta mangsa sebelum melepaskan tembakan.

"Salah seorang dari suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai kepala dan badan mangsa. Ini mengakibatkan kereta mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta di hadapan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Nashir berkata kedua-dua suspek kemudiannya memecut motosikal mereka.

Mangsa dipercayai ditembak dengan pistol automatik dan polis turut menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.

"Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli keluarga mangsa. Buat masa ini kita belum dapat kenal pasti punca sebenar kejadian," kata Mohd Nashir.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim.

Seorang pemandu Mat Lin Saad, 62, berkata beliau sedang memandu di hadapan kereta mangsa dan apabila tiba di simpang lampu isyarat tersebut, beliau terdengar bunyi letupan seperti mercun.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi kereta saya dilanggar dari belakang. Saya turun dari kereta saya untuk melihatnya dan mendapati orang ramai sudah mengerumun kereta di belakang saya. Saya turut melihat mangsa yang berlumuran darah meronta-ronta sebelum tidak lagi bergerak," katanya.

Zulkiffli Itam, 45, pula berkata beliau yang berada di jalan yang bertentangan ternampak dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta mangsa.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan dua lelaki yang menaiki motosikal itu terus memecut motosikal mereka ke arah Taman Selasih," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan