Pegawai Polis Putus Kaki Kanan Dirempuh Kereta

Diterbitkan: Rabu, 17 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA BESUT: Seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira 10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu.

Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.

Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong sebuah kenderaan lain.

Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.

Zainalabidin berkata selepas melanggar mangsa, kereta berkenaan yang hilang kawalan melanggar tembok pagar sekolah sehingga runtuh.

"Melihat kejadian itu saya menghampiri mangsa dan melihat sebelah kaki mangsa putus dan dijumpai berhampiran tembok yang runtuh," katanya ketika ditemui di Hospital Besut, di sini.

Menurutnya mereka berdua baru bertemu sejak Sabtu lepas dan ditugaskan untuk membantu kelancaran trafik sempena PRK DUN Kuala Besut.

Mencerita saat beliau menghampiri mangsa, Zainalabidin berkata beliau terdengar mangsa merintih "Apa dosa saya? Kenapa dia langgar saya?".

Mangsa yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu dikejarkan ke Hospital Besut dengan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.

Keadaannya kini dilaporkan stabil.

Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Alias Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu.

Katanya suspek yang mengalami kecederaan ringan itu kini ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan