Bekas Tahanan Ordinan Darurat Terlibat Kes Jenayah Kekerasan

Diterbitkan: Rabu, 17 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan 67 kes jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata angka itu menunjukkan peningkatan 100 peratus berbanding 33 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Kami kesan jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan EO meningkat selepas 2,473 tahanan EO dibebaskan pada Julai tahun lepas setelah Ordinan Darurat 1969 dimansuhkan pada 2011.

"Antara jenayah kekerasan yang dilakukan mereka seperti bunuh dan cubaan membunuh, samun bersenjata, ugutan jenayah termasuk merusuh," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata walaupun alamat bekas tahanan EO itu diserahkan kepada polis, namun tidak ada undang-undang yang memberi kuasa kepada polis untuk mengarah atau memastikan mereka kekal menetap di alamat berkenaan.

"Selepas dibebaskan, ada antara mereka yang perlu bekerja dan ini memerlukan mereka berpindah. Apabila ada ruang seperti ini, itulah yang membuatkan ada dalam kalangan mereka yang kembali melakukan jenayah.

"Mungkin pada awalnya apabila kita minta ketua-ketua balai melakukan pemeriksaan sama ada mereka memang tinggal di situ dan tinggal dengan keluarga," katanya.

Abdul Jalil berkata polis hanya boleh memantau dari segi pekerjaan yang dilakukan selain meminta anggota keluarga mereka memaklumkan kedudukan mereka kepada pihak polis.

Beliau juga meminta masyarakat dan badan bukan kerajaan memberi kerjasama terutama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kumpulan-kumpulan yang sering menimbulkan kekacauan.

"Ini bagi mengelakkan jenayah berkumpulan atau sepertinya merebak dan dapat dibendung di peringkat awal," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 90 peratus daripada kes jenayah berat, terancang dan berkumpulan dilakukan oleh bekas banduan yang ditahan di bawah EO di Simpang Renggam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM telah memberi input dan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung penggubalan undang-undang baharu bagi menggantikan EO 1969. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan