Lelaki Menang Pertaruhan Dipukul Mati

Diterbitkan: Isnin, 15 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Judi boleh mengundang pelbagai angkara, termasuk maut.

Ini terbukti apabila seorang pendatang Indonesia yang menang dalam permainan 'Holo', sejenis judi yang begitu digemari rakyat Indonesia, ditemui mati dibelasah di Jalan Awang Ramli di sini malam Ahad.

Mayat Hares Ismail, 61, yang mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Sabah, ditemui terperosok di dalam longkang berhampiran tapak pembinaan Pusat Islam Sibu pada kira-kira pukul 9 pagi, dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala dan lehernya.

Seorang pendatang Indonesia, yang dipercayai kalah teruk kepada mangsa, disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

Sebelum itu, lelaki berkenaan dilihat menyerang Hares dengan sebatang besi kerana tidak berpuas hati dengan kekalahannya.

Polis juga mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman tiga pekerja tempatan selama seminggu bagi membantu siasatan kes itu.

Timbalan ketua polis Sibu Supt Zayadi Sebli berkata polis sedang menyiasat bagaimana mayat mangsa boleh berada di dalam longkang kira-kira 10 meter dari tempatnya diserang.

Katanya mangsa, dari Kampung Sim Sim, Sandakan, Sabah dan pemilik kad pengenalan merah, didapati sering menganjurkan judi 'Holo' untuk pekerja tempatan dan Indonesia di tapak pembinaan itu. "Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat yang lain, termasuk seorang pekerja dari Indonesia, berjudi sebelum mula meneguk minuman keras pada Sabtu malam.

"Kemudian, tiga pekerja tempatan dilaporkan melihat pekerja dari Indonesia itu mengikut Hares setelah permainan selesai. "Mereka bergaduh dan Hares diserang dengan sebatang besi serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata pekerja berkenaan memberitahu polis bahawa suspek kalah teruk kepada Hares semasa berjudi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan