Kanak-Kanak Cedera Terkena Tembakan di George Town

Diterbitkan: Jumaat, 12 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera terkena tembakan di perkarangan Pangsapuri Golf View Bukit Jambul, di sini malam Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, seorang lelaki melepaskan sekurang-sekurangnya 10 das tembakan dari jarak lima hingga 10 meter dan satu daripadanya menembusi bahagian atas lutut kiri kanak-kanak itu, B. Shawn Yashwin.

Beliau berkata ketika kejadian bapa kanak-kanak berkenaan, E. Beritto, 33, sedang berbual dengan seorang rakan di perkarangan pangsapuri itu sebelum seorang lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC bewarna putih secara tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah mereka.

"Bapa mangsa bekerja sebagai penarik kereta dan tinggal di Bayan Baru. Kami belum mengetahui tujuan dia ke situ dan mengapa dia membawa kanak-kanak itu bersama," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata siasatan polis mendapati bapa kepada kanak-kanak itu tidak memiliki rekod jenayah dan polis masih menyiasat sasaran sebenar suspek.

Mazlan berkata polis menemui 10 kelongsong peluru berukuran 9mm di sekitar lokasi kejadian dan satu daripada kelongsong itu turut terpelanting dan mengenai dahi kanak-kanak itu.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan kini dirawat di Hospital Pantai Bayan Baru, di sini dan keadaanya dilapor stabil.

Polis akan meneliti kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi mendapat gambaran jelas kejadian, katanya.

Beliau berkata maklumat awal mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup separa, mengenakan jaket hitam dan bersarung tangan serta dipercayai menyelinap masuk dari pintu pagar belakang pangsapuri. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan