Jangan Politikkan Kes Kematian Pembantu Calon PKR - Ketua Polis Perak

Diterbitkan: Selasa, 9 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempolitikkan kes kematian K.Murugan, pembantu calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) K.Vasantha Kumar, bagi memastikan ia tidak menganggu siasatan polis.

Beliau berkata polis tidak pernah menutup kes itu dan masih meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut dengan setiap minggu mengumpul bukti-bukti bagi mengenal pasti motif kematian.

Setakat ini, 12 individu ditahan dan 14 keterangan saksi direkodkan untuk membantu siasatan, katanya.

"Sepatutnya pihak tersebut memberi keyakinan penuh kepada polis Perak kerana kejadian ini berlaku di Perak. Tidak timbul soal kes ini perlu diambil alih polis Bukit Aman," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini Isnin.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai terdapat pihak tertentu tidak berpuas hati dengan perjalanan siasatan polis berhubung kematian Murugan yang ditemui terapung di sebuah tasik di Batu Gajah, Mei lepas.

Mohd Shukri juga meminta pihak tertentu supaya tidak membesar-besarkan isu ini kepada media tanpa merujuk kepada polis terlebih dahulu.

Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah Perak menurun 11.7 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan dalam tempoh itu 2,007 daripada 3,805 kes jenayah yang direkodkan diselesaikan.

"Penurunan indeks jenayah ini telah melepasi sasaran yang telah ditetapkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.

Katanya pencapaian ini meningkat dua kali ganda daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak lima peratus. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan