Lelaki Maut Ditembak Selepas Beli Tosai Di George Town - Berita Jenayah | mStar

Lelaki Maut Ditembak Selepas Beli Tosai Di George Town

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas terkena empat das tembakan di sebuah medan selera di Jalan Relau di sini malam Khamis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, SAC Mazlan Kesah berkata pada kejadian pukul 10.30 malam itu mangsa K. Kuganeswaran, 30, sebelum itu dikatakan membeli tosai di gerai makanan di situ.

Beliau kemudiannya dipanggil oleh dua lelaki yang dipercayai dikenalinya.

"Apabila Kuganeswaran masuk semula ke dalam medan selera berkenaan, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa ditembak dari jarak dekat," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mazlan berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian apabila tembakan itu mengenai dada, badan serta lehernya dan polis turut menemui empat kelongsong peluru berukuran 9mm di lokasi kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang beralamat di Taman Damai Taiping, Perak itu memiliki dua rekod lampau melibatkan kesalahan dadah.

Beliau berkata motif pembunuhan masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta membuat laporan di balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan