Dua Maut, Tiga Cedera Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi

Diterbitkan: Ahad, 30 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera selepas konvoi yang disertai mereka merempuh sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Baharu-Mersing di sini, Ahad.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini ketika konvoi 16 buah motosikal berkuasa tinggi dan lima buah kereta itu dalam perjalanan pulang dari Johor Baharu menuju ke Kuala Terengganu.

Difahamkan konvoi berkenaan turut disertai oleh orang kenamaan dari Terenggganu. Bagaimanapun orang kenamaan berkenaan sebelum itu dilaporkan telahpun berpisah dari konvoi berkenaan sebelum kemalangan itu berlaku membabitkan tiga buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi, berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Abdul Rashid Mansor, 48, beralamat di Taman Ibai Indah, Ibai Golf Resort Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan Mohamad Hisham Salleh, 36 dari Kampung Gemuroh, Marang Terengganu.

Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Saufi Said, 48, dan Anisar Muhammad, 49, isteri kepada Muhd Zulkeri Embong, 45 yang mengalami cedera ringan.

Mohd Nor berkata kemalangan tersebut berlaku selepas lori tangki tersebut dari arah Mersing dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melintang di jalan raya.

Menurutnya dalam masa yang sama konvoi tersebut yang datang dari arah Johor Baharu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori tersebut sehingga menyebabkan salah sebuah motosikal terbakar manakala sebuah lagi motosikal terputus dua.

"Lori tangki tersebut tidak membawa apa-apa muatan. Ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan jalan licin," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua mangsa cedera parah dipindah ke Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu.

Menurutnya pemandu lori berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, anak kepada Muhd Zulkeri, Shahir Zulfyri, yang mengikuti konvoi itu, berkata mereka bergerak dari Johor Bahru kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum terlibat dalam kejadian tersebut.

"Ketika itu saya menaiki kereta manakala ayah dan ibu menaiki motosikal (Harley Divison). Saya dapat melihat dengan jelas lori itu hilang kawalan dan melintang di tengah-tengah jalan menyebabkan ahli konvoi melanggar lori tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit kecemasan Hospital Kota Tinggi. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Jumaat, 28 November 2014 12:00 AM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 4)

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan