Polis Tahan Lelaki Bagi Bantu Siasatan Kes Bakar Wanita

Diterbitkan: Rabu, 26 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang cedera parah selepas didakwa dibakar oleh suaminya di rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, dekat sini Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 30-an dan merupakan anggota keluarga suami mangsa itu ditahan lewat malam Isnin di Bukit Mertajam.

"Polis sudah menahan seorang anggota keluarga suaminya untuk diambil keterangan dan usaha mengesan suami mangsa berusia lingkungan 40-an sedang giat dijalankan," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata polis percaya suami mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu masih bersembunyi di negeri ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Abdul Rahim berkata mangsa masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dalam keadaan kritikal.

"Kami belum merekodkan keterangan daripada beliau kerana keadaannya masih kritikal," katanya.

Dalam kejadian petang Isnin, wanita berusia 36 tahun yang berniaga kuih di pasar melecur kira-kira 60 peratus di badannya dipercayai akibat dibakar oleh suaminya selepas berlaku pertengkaran. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan