Peniaga Kuih Cedera Parah Dibakar Suami

Diterbitkan: Selasa, 25 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita cedera parah selepas dipercayai dibakar suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, di sini, Isnin.

Mangsa, Lai Siew Fong, 36, yang berniaga kuih di pasar melecur kira-kira 60 peratus di badannya dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Mazlan Kesah berkata polis menerima panggilan telefon daripada jiran mangsa yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara pasangan suami isteri berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Katanya jiran berkenaan turut memaklumkan seorang wanita di dalam rumah itu dibakar selepas berlaku pertengkaran antara suami isteri terbabit.

"Anggota polis yang sampai di tempat kejadian menghubungi ambulans dan wanita yang merupakan isteri lelaki itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dipindahkan ke HPP berikutan kecederaan parah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam Isnin.

Mazlan berkata suami mangsa yang berusia lingkungan 40-an dan tidak mempunyai pekerjaan tetap melarikan diri sebaik kejadian dan usaha mengesannya giat dijalankan.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini motif sebenar kejadian itu belum diketahui.

"Tetapi kita tidak menolak kemungkinan pergaduhan sehingga lelaki itu bertindak membakar isterinya berikutan masalah rumah tangga kerana sebelum ini mangsa (isteri) pernah beberapa kali membuat laporan polis berikutan dipukul suaminya," katanya.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak berusia 10 dan enam tahun dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, kakak mangsa, Lai Tee Lan, 43, berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi suspek iaitu suami adiknya kira-kira pukul 4 petang memaklumkan isterinya berada di hospital.

"Saya berada di rumah dan cuba menghubunginya semula, tetapi tidak berjaya sebelum bergegas ke hospital dan mendapati adik saya parah kerana melecur di seluruh badannya," katanya.

Beliau berkata pasangan itu memang mengalami masalah dalam perkahwinan mereka sejak dua tahun lepas malah mereka sering bergaduh.

"Mereka dalam proses bercerai tetapi masih tinggal serumah. Saya tidak sangka dia sanggup bertindak kejam terhadap adik saya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan