Anggota Polis Yang Digantung Kerja Antara Ditahan Kerana Menyamar

Diterbitkan: Selasa, 25 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang ditahan kerja sejak 2006 adalah antara tiga lelaki yang ditahan pada Selasa kerana menyamar sebagai pegawai penguatkuasa Imigresen untuk memeras ugut pengurus kilang memproses ayam di Taman Sungai Besi Industrial Park di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata ketiga-tiga mereka berusia antara 52 dan 44 tahun itu ditahan sejam selepas mereka ke kilang berkenaan pada 6 pagi.

Beliau berkata lelaki terbabit telah bertemu dengan seorang pekerja kilang dan meminta untuk bertemu pengurus kilang itu di sebuah stesen minyak di kawasan berdekatan.

"Pengurus itu bersetuju untuk bertemu dan pada masa sama dia menghubungi polis memaklumkan kes itu. Hasil maklumat itu polis memberkas ketiga-tiga lelaki terbabit di stesen minyak berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Siasatan awal mendapati tiga suspek yang berasal dari Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang itu positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang daripada mereka mempunyai empat rekod jenayah, katanya.

Mohan Singh berkata pemeriksaan polis dalam kereta suspek menemui beberapa kad agensi penguatkuasa palsu iaitu tiga kad kuasa Jabatan Imigresen, satu kad kuasa polis, satu kad kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, satu kad kuasa Jabatan Kastam, satu vest warna biru berlogo 'Jabatan Imigresen Malaysia', satu walkie talkie, satu gari, kunci, beg galas dan sebilah pisau," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan