PCM Buat Laporan Polis Pemilik Akaun Facebook Hina Agama Islam

Diterbitkan: Isnin, 24 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Parti Cinta Malaysia (PCM) pada Isnin membuat laporan polis terhadap tindakan seorang pemilik akaun laman sosial Facebook kerana menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Naib Presiden PCM Huan Cheng Guan berkata PCM mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun yang menggunakan nama Sally Yen itu kerana menghina agama lain.

"Perbuatan pemilik akaun itu sangat tidak bertanggungjawab dan dengan jelas telah menghina Agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam komennya hari ini dan ramai umat Islam marah dengan tindakannya itu.

"Jadi kami mahu pihak polis dan SKMM ambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun berkenaan supaya orang lain tidak berani buat benda yang sama (menghina agama lain)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Perai, di sini, Isnin.

Sementara itu, Huan berkata PCM turut menubuh sebuah pasukan khas, SEMUT (Sensible And Ethical Malaysia United Troopers), yang dianggotai lebih 200 orang di seluruh negara bagi memantau laman sosial dan blog.

Katanya SEMUT beroperasi sejak dua minggu lepas dan merupakan pertubuhan bebas politik serta tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Jika ada laman sosial atau blog yang mengeluarkan kenyataan seperti menghina agama, institusi Raja dan pemimpin negara serta menyebarkan fitnah, kita akan melaporkan perkara itu kepada SKMM dan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Selain itu, beliau yang mengetuai SEMUT berkata pertubuhan berkenaan juga akan berperanan menyatupadukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menerusi laman sosial dan blog. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan