Serang Polis Dengan Kapak, Lelaki Cedera Ditembak

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah cedera selepas ditembak di paha apabila dia bertindak liar cuba menyerang anggota polis dengan sebilah kapak dalam kejadian di Kampung La, Hulu Besut.

Dalam kejadian pukul 6 petang Ahad itu, pemuda yang berusia 29 tahun berkenaan juga dipercayai kurang siuman selain berada di bawah pengaruh dadah, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan, di sini Isnin.

Mengulas kejadian kepada pemberita, Manoharan berkata polis mendapat laporan mengenai seorang lelaki mengamuk dengan sebilah kapak di kampung itu selepas permintaannya untuk mendapat wang tidak dilayan oleh anggota keluarganya.

Suspek ke rumah bapa saudaranya untuk mendapatkan wang dipercayai bagi membeli dadah, namun bapa saudaranya tidak melayan permintaan itu menyebabkan suspek mengamuk.

"Bapa saudaranya yang takut dengan insiden itu membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Akar kira-kira pukul 6.45 petang dan 15 minit selepas itu tiga anggota polis yang melakukan rondaan tiba di tempat kejadian," katanya.

Menyedari ketibaan kereta polis, suspek bertindak menyerang dengan menetak bonet kereta serta mengacu kapak tersebut kepada anggota polis yang keluar daripada kenderaan itu.

Katanya suspek kemudian cuba menyerang anggota polis berkenaan menyebabkannya melepaskan satu tembakan ke arah kaki suspek bagi mempertahankan diri.

"Tembakan itu mengenai paha suspek namun suspek bertindak melarikan diri ke rumah neneknya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian. Polis kemudian berjaya memberkas suspek," katanya.

Menurut Manoharan lelaki itu kini dirawat di Hospital Besut dan keadaannya dilapor stabil, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan