Pasangan Suami Isteri Antara Empat Ditahan Terlibat Kes Wang Palsu

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia minggu lepas kerana dipercayai terlibat dalam 13 kes pembelian telefon bimbit menggunakan wang palsu membabitkan kerugian RM21,000 sejak Oktober tahun lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata pasangan berumur 29 dan 28 tahun itu ditangkap di tempat letak kereta Flat Desa Mentari, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira 9.45 pagi, 5 Jun lepas.

Beliau berkata suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan isterinya yang tidak bekerja kemudian membawa polis ke unit kediaman mereka dan menjumpai enam telefon bimbit jenama Samsung Note II, Samsung Galaxy S4, Sony Ericsson, Nokia dan Alcatel.

"Modus operandi pasangan suami isteri ini ialah mereka akan hubungi mangsa yang mengiklankan penjualan telefon bimbit melalui laman web mudah.com dan mereka akan berjumpa dengan mangsa untuk membeli telefon bimbit. Selepas menerima telefon bimbit, mereka membuat bayaran dengan wang palsu yang diletak dalam sampul surat.

"Selepas mangsa terima sampul surat itu, pasangan suami isteri terbabit akan segera beritahu bahawa mereka perlu ambil anak di sekolah serta tergesa-gesa meninggalkan mangsa tanpa sempat mangsa memeriksa wang berkenaan. Setelah diperiksa, mangsa dapati wang dalam sampul adalah wang palsu yang mempunyai nombor siri sama," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Thaiveegan berkata siasatan ke atas pasangan membawa kepada penahanan seorang penghantar surat berumur 30 tahun yang merupakan abang suspek wanita itu di rumahnya di flat sama pada 2 petang, 11 Jun lepas.

Beliau berkata semasa tangkapan itu, polis turut merampas tiga keping wang kertas RM100 dipercayai palsu dan beberapa imej wang yang belum siap sepenuhnya.

Kira-kira setengah jam kemudian, katanya, polis turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 27 tahun yang datang ke rumah suspek lelaki berkenaan.

Siasatan mendapati lelaki Indonesia itu tiada sebarang dokumen perjalanan dan menemui lapan keping wang kertas RM100 disyaki palsu.

"Suspek itu kemudian membawa polis ke rumahnya di Kampung Medan, Petaling Jaya dan di sana, polis merampas sebuah pencetak 3 dalam 1 berfungsi untuk mengimbas, fotostat dan mencetak, banyak helaian wang kertas palsu yang rosak selepas dicetak serta barangan lain untuk membuat wang palsu seperti kertas A4, gunting dan kertas kilat. Mereka dipercayai memproses wang palsu berkenaan di rumah lelaki Indonesia itu," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek telah menjalankan kegiatan itu sejak Oktober tahun lepas dan lelaki Indonesia serta penghantar surat terbabit didapati turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Thaiveegan berkata kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan iaitu memiliki wang palsu dan 489D Kanun yang sama bagi kesalahan membuat atau memiliki peralatan mencetak wang palsu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan