Lapan Individu Ditahan Dipercayai Terlibat Penipuan 'Gores & Menang' - Berita Jenayah | mStar

Lapan Individu Ditahan Dipercayai Terlibat Penipuan 'Gores & Menang'

Diterbitkan: Selasa, 4 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan sindiket penipuan 'gores dan menang' yang memperdaya mangsa kononnya menang hadiah kereta mewah dan barangan elektronik, selepas menahan lapan individu di bandar raya ini, minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata mereka ditahan selepas polis menerima laporan beberapa mangsa termasuk rakyat Singapura yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

"Untuk meyakinkan mangsa, suspek telah menunjukkan keratan akhbar mengenai kereta mewah yang kononnya dimenangi peserta lain. Hakikatnya suspek menyediakan kad 'gores dan menang' yang tidak akan memenangi hadiah sedemikian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini Selasa.

Mohd Mokhtar berkata mangsa yang tertarik dengan hadiah itu, menyerahkan sejumlah wang, yang kononnya sebagai cukai untuk membuka satu lagi cabutan dalam kad 'gores dan menang' yang sama.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberi tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.

Katanya hasil siasatan mendapati resit pembayaran yang diserahkan kepada kesemua mangsa adalah atas syarikat yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau lesen di bawah Akta Jualan Langsung.

"Kesemua yang ditahan berumur lingkungan belasan tahun hingga 40-an. Kami percaya mereka telah melakukan penipuan itu sejak lima bulan lepas," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan