Suspek Kedua Kes Samun, Suntik Pemandu Lori Barangan Lusuh Ditahan - Berita Jenayah | mStar

Suspek Kedua Kes Samun, Suntik Pemandu Lori Barangan Lusuh Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 30 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGANU: Polis menahan suspek kedua kes samun dan menyuntik pemandu lori dengan dadah sebelum melarikan lori yang membawa barangan lusuh di Felda Cherul Kemaman 20 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam Rabu dalam serbuan ke sebuah rumah di Kampung Gong Kenak Jerteh, Besut.

"Ketika serbuan suspek berada seorang diri di kediaman itu. Kami turut menemui semula lori dengan muatan besi buruk dan surat khabar lama," katanya.

Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan dan berasal dari Besut itu kini direman untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi 20 Mei lepas, dua lelaki menahan pemandu lori yang berusia 29 tahun dan menyuntiknya dengan dadah dipercayai morfin sehingga khayal sebelum melarikan lori yang membawa muatan besi buruk dan surat khabar lama itu.

Suspek turut menyamun beberapa barangan berharga milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan dan diselamatkan oleh pemandu lori lain.

Ekoran kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan suspek utama kes berkenaan Ahad lepas.

Lelaki itu ditahan di rumahnya di Felda Cherul 2, pada pukul 5.30 petang dan siasatan awal mendapati suspek utama itu turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan