Polis Tahan Lelaki Disyaki Terbabit Kes Samun

Diterbitkan: Selasa, 28 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun berkawan di Bukit Keteri selepas melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan yang dipandu suspek di kawasan Kuala Perlis Ahad lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Perlis DSP Teoh Paik Leng berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas kereta yang dipandunya itu terbabas di tepi jalan Bukit Tok Poh.

"Polis sebelum itu terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta lelaki terbabit apabila dia cuba melanggar seorang anggota polis yang cuba menahannya," katanya.

Beliau berkata polis berjaya menjejaki suspek pada pukul 11.10 pagi hasil maklumat awam.

Lelaki itu kini direman sehingga 2 Jun, katanya sambil memberitahu bahawa polis kini mencari seorang lagi yang dikenali sebagai Choong Hooi Lean, 29, beralamat terakhir di No 69C, Taman Utara Jaya, Kuala Perlis untuk membantu siasatan kes samun itu.

Dalam kejadian pada 7.05 petang Sabtu lepas, dua lelaki dilapor melarikan wang tunai RM3,000 dan dua telefon bimbit bernilai RM500 dari sebuah kedai menjual telefon di Bukit Keteri, Padang Besar.

Dua lelaki terbabit dikatakan menggunakan dua batang kayu untuk menyerang dua mangsa di premis itu menyebabkan peniaga kedai telefon berusia 35 tahun cedera di kepala dan menerima lima jahitan manakala pembantu kedai berusia 17 tahun menerima tujuh jahitan di bahagian belakang kepala. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan