Pelancong Asing Maut, Rakan Parah Terkena Kipas Bot Ketika Menyelam

Diterbitkan: Selasa, 28 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Seorang pelancong asing terbunuh manakala rakannya cedera parah terkena kipas sebuah bot pelancong di perairan Pulau Perhentian berhampiran Jeti Pulau Perhentian Besar dekat sebuah chalet di sini awal Isnin.

Yang terbunuh dikenali sebagai Madaline Jayne, 25, berasal dari Hereford, England manakala rakannya yang cedera parah, Simons James Rogers, 22, dari Australia.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria ketika mengesahkan kejadian, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 10.20 pagi.

Jayne meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan awal dibawa oleh operator bot yang terbabit, akibat cedera teruk di kedua-dua belah kaki, punggung dan badan.

Katanya, Rogers yang cedera di kedua belah kaki dan perut telah dikejarkan ke Hospital Daerah Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian petang ini.

Kamaruddin berkata, pemandu bot tidak menyedari kehadiran kedua-dua mereka ketika sedang lalu di kawasan kejadian untuk membawa pelancong ke chalet berkenaan.

Katanya, mangsa bersama dua lagi rakannya dikatakan sedang melakukan aktiviti menyelam dan berenang di luar kawasan perairan selamat dan didapati tidak memakai jaket keselamatan serta tidak dikawal.

Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dikejarkan oleh bot terbabit ke Klinik Kecil Pulau Perhentian tetapi Jayne meninggal dunia dalam perjalanan.

Mengikut rekod Jayne tiba di negara ini sejak 4 April lalu dari Indonesia dan menginap di Senja Bay Pulau Perhentian Besar sejak dua minggu lalu manakala Rogers pula menginap di sebuah resort berhampiran.

Mayat Jayne dihantar ke Hospital Daerah Besut di Jerteh untuk bedah siasat.

Mereka berdua dikatakan datang untuk mengikuti kursus snokerling dengan sebuah syarikat swasta di Pulau Perhentian Besar. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan