Dua Lelaki Cedera Ditembak Dalam Kejadian SAmun Di Bagan Serai

Diterbitkan: Selasa, 14 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Dua daripada lima lelaki dipercayai sedang asyik bermain judi cedera ditembak sekumpulan lelaki dalam kejadian samun di sebuah rumah di Bagan Serai.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mangsa masing-masing ditembak pada bahagian paha serta lengan kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Taiping.

Dalam kejadian antara pukul 4 hingga 4.30 pagi itu, mangsa didatangi enam hingga tujuh lelaki bersenjatakan pistol apabila tiba-tiba berlaku pergaduhan sebelum mereka menyamun barang-barang peribadi milik mangsa seperti wang tunai dan telefon bimbit.

Beberapa orang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan dua kereta milik mangsa, katanya. "Sebuah kereta yang dicuri dijumpai semula tidak jauh dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini. Mohd Shukri berkata polis sedang mengenal pasti identiti kesemua suspek dan tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap atau persengketaan antara dua kumpulan.

Dalam kes berasingan, kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari yang sama, seorang nelayan yang juga peraih berumur 46 tahun cedera di bahagian lengan kanannya selepas ditembak dalam satu kejadian di Jalan Gula, Kuala Kurau dekat sini.

Kejadian itu berlaku semasa nelayan itu dalam perjalanan ke Taiping menghantar bekalan udang kering kepada pelanggannya apabila kereta yang dipandunya dihimpit sebuah kereta lain yang meluncur laju seperti mahu melanggar kenderaannya.

Apabila mangsa memperlahankan kenderaannya, suspek melepaskan satu das tembakan menembusi cermin di bahagian pemandu dan mengenai lengan kanannya, kata Mohd Shukri.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan