Remaja Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan Motosikal

Diterbitkan: Sabtu, 11 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan motosikal di Km308.3, Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Seremban, berhampiran Hentian Rehat Serdang awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Mohamad Asri Mohamad Desa, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abdul Razak Elias berkata ketika kejadian, keempat-empat remaja itu bersama seorang lagi individu dipercayai terlibat dalam perlumbaan motosikal.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mereka bergesel sesama sendiri dan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Bagaimanapun, individu kelima itu dipercayai melarikan diri.

Abdul Razak berkata, tiga penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan manakala mayat Mohamad Asri dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan