Pelajar Maut, Rakan Parah Dirempuh Lori

Diterbitkan: Jumaat, 3 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut sementara rakannya parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah lori di jalan kampung di Felda Kurma-Sebertak dekat Bera.

Mangsa yang membonceng motosikal terbabit, Nurfatin Farahana Sharif, 13, mati di tempat kejadian manakala penunggang yang merupakan rakan seusianya, cedera parah di kaki selain patah paha kanan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 3.50 petang Khamis itu, mangsa keluar dari simpang di sebelah kiri jalan tanpa berhenti dan terus membelok ke kanan jalan masuk ke jalan besar menghala ke arah Triang.

"Pada masa yang sama, sebuah lori muatan pasir dari arah bertentangan tidak sempat memberek lalu merempuh mangsa.

"Akibat itu, mangsa mati di lokasi kejadian sementara rakannya yang belum dikenal pasti identiti itu cedera parah dan kini dirawat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh," katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Rukman Salleh, 44, dari Felda Tementi, Triang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohamed Fauzi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa terbabit tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar semasa kejadian dan mangsa juga dipercayai cuai ketika keluar dari simpang itu.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan