Dokumen Fitnah: Calon BN DUN Buntong Buat Laporan Polis

Diterbitkan: Jumaat, 3 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong Rela Ahmad membuat laporan polis berhubung penyebaran dokumen palsu yang memfitnah dirinya oleh pihak tertentu di kawasan beliau bertanding.

Rela, 63, berkata fitnah itu berbentuk satu laporan polis yang mendakwa beliau pernah ditangkap khalwat bersama seorang lelaki Melayu pada 24 Sept 2009, namun nama sebenar dalam dokumen berkenaan milik individu lain.

Ketua Wanita Umno Perlis itu menyedari penyebaran dokumen itu pada 8.30 malam semalam selepas dimaklum oleh beberapa petugas Pemuda BN yang bertugas menggantung bendera di Jalan Nesam dan ternampak beberapa salinan berterabur di atas jalan raya.

"Saya terus ke tempat itu dan menemui kira-kira 300 salinan dokumen palsu berkenaan sebelum membakar sebahagiannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis di sini.

Rela berkata beliau percaya penyebaran dokumen palsu itu adalah fitnah peribadi terbesar terhadap dirinya yang sengaja dilempar pakatan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 Ahad ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika ditemui pemberita, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Saya meminta penduduk sekitar Bintong, jika menemui dokumen itu, supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk siasatan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan