Polis Sarawak Kesal Calon Salah Guna Imej Polis Trafik Untuk Tujuan Kempen

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Polis kesal dengan tindakan calon PKR Parlimen Petra Jaya Ahmad Nazib Johari yang menggunakan poster menampilkan dirinya dengan memakai seragam polis trafik sebagai sebahagian kempen pilihan raya bagi meraih undi di kawasan tersebut.Tindakan calon itu merupakan kesalahan dari segi etika seperti mana dinyatakan di bawah Akta Pilihanraya Seksyen 4 (A). -foto BERNAMA
Polis kesal dengan tindakan calon PKR Parlimen Petra Jaya Ahmad Nazib Johari yang menggunakan poster menampilkan dirinya dengan memakai seragam polis trafik sebagai sebahagian kempen pilihan raya bagi meraih undi di kawasan tersebut.Tindakan calon itu merupakan kesalahan dari segi etika seperti mana dinyatakan di bawah Akta Pilihanraya Seksyen 4 (A). -foto BERNAMA

KUCHING: Polis kesal dengan tindakan seorang calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Petra Jaya yang menggunakan poster dengan menampilkan dirinya dalam pakaian seragam polis trafik untuk menarik sokongan pengundi.

Pegawai Pentadbiran Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, ACP Azam Abd Hamid berkata tindakan calon itu merupakan satu tindakan yang salah dari segi etika pilihan raya.

"Polis melarang sekeras-kerasnya penyalahgunaan gambar, prasarana ataupun apa-apa berkaitan pasukan polis. Tindakan calon itu merupakan kesalahan dari segi etika seperti dinyatakan di bawah Akta Pilihanraya Seksyen 4 (A).

"Saya nasihatkan kepada calon supaya tidak membuat sesuatu seolah-olah pasukan polis bersama mereka dan menyokong mana-mana parti," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media IPK Sarawak di sini, Jumaat.

Kerusi Parlimen Petra Jaya akan menyaksikan pertandingan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Fadillah Yusuf menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Nazib Johari. Poster yang diletakkan di Bulatan Datuk Abang Kipali Bin Abang Akip menampilkan calon PKR tersebut dalam seragam polis trafik dan berjanji untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Petra Jaya.

Sementara itu Azam yang merupakan jurucakap rasmi polis Sarawak bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berkata pasukan petugas telah diwujudkan untuk memantau perkembangan aktiviti pertaruhan semasa PRU13.

"Pasukan itu akan pantau perkembangan aktiviti pertaruhan yang berlaku. Kita akan terus kumpul risikan dan minta mereka yang punyai maklumat atau didatangi sindiket pertaruhan supaya hubungi polis bagi membantu siasatan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan