Nuraina Samad Jadi Mangsa Ragut Di TTDI - Berita Jenayah | mStar

Nuraina Samad Jadi Mangsa Ragut Di TTDI

Diterbitkan: Rabu, 24 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Editor Pengurusan New Straits Times, Datuk Nuraina Samad mengalami kerugian bernilai lebih RM9,000 apabila diragut tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berhampiran Restoran Antonio di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini malam tadi.

Ketika dihubungi Bernama, Nuraina, 57, berkata, beliau bersama anak perempuan dan anak saudara perempuannya baru sahaja selesai makan malam apabila kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam.

"Masa dalam perjalanan menuju ke kereta, saya nampak sebuah Myvi kelabu yang bercermin gelap parkir di belakang kereta saya tetapi saya tak rasa curiga," katanya.

Beliau berkata, ketika sedang membuka pintu keretanya, tiba-tiba kereta Myvi tersebut bergerak menghampiri kereta beliau dan seorang lelaki di kerusi penumpang hadapan menarik beg tangannya tetapi gagal berbuat demikian.

"Kereta berkenaan bergerak lagi ke hadapan dan seorang lagi penumpang menarik pula beg saya sambil memegang sebilah pisau dan mengacukan ke arah saya.

"Saya terpaksa melepaskan beg tangan saya kerana tidak mampu bertahan," katanya yang mengalami calar serta lebam di lengan kiri dan kanan.

Nuraina berkata, dalam beg tangannya mengandungi dompet, telefon bimbit, buku cek dan pelbagai barangan peribadi.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada pukul 11 malam tadi. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan