Wanita Maut Ditikam Ketika Berjoging Demi Selamatkan Anak

Diterbitkan: Ahad, 21 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 52 tahun bukan saja dirompak tetapi ditikam hingga mati oleh dua orang perompak ketika berjoging bersama dengan anak perempuannya di Bukit Gasing pada Sabtu.

Mangsa, Ong Ai Sam, bersama dengan anak perempuan ketika mereka didekati dua lelaki bersenjata pisau dan bertopi keledar kira-kira pukul 4.30 petang.

Suspek meminta mangsa menyerahkan beg tangan kepunyaannya tetapi Ong menjerit kepada anak perempuannya berusia 20 tahun meminta supaya lari menyelamatkan diri.

Beliau bertindak menghalang kedua-dua suspek manakala anak perempuannya lari meminta pertolongan daripada pejalan kaki di kawasan itu.

Sumber mendedahkan suspek menikam mangsa sebelum melarikan diri dengan barang kepunyaan Ong.

Anak perempuan Ong kembali ke tempat kejadian bersama dengan seorang wanita lain dan menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Ong dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital tersebut, 20 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata polis sedang mengumpul rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berdekatan.

"Kami berharap dapat mengenal pasti suspek dalam masa terdekat dengan bantuan anak perempuan mangsa dan sesiapa saja yang mungkin terlihat insiden itu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan