Lelaki Curi Senjata Api Berjaya Diberkas

Diterbitkan: Ahad, 21 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang lelaki yang mencuri senapang patah dari sebuah rumah jiran berjaya ditahan pihak polis, dalam kejadian di Raub, malam Sabtu.

Suspek berusia 49 tahun ditahan di sebuah rumah kosong, berhampiran rumah mangsa, sejam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Samsudin Wan Osman berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.00 malam itu, suspek memecah masuk rumah mangsa, di Batu 2 Jalan Cheroh, dekat Raub.

"Selain senapang patah, suspek turut melarikan wang tunai RM2,500, sebuah komputer riba dan 48 butir peluru," kata Wan Samsudin.

Mangsa, berusia 50 tahun, yang menyedari rumahnya dipecah masuk bertindak membuat laporan polis, dan hasil maklumat itu dan tindakan pantas polis, suspek berjaya ditahan sejam selepas itu.

"Polis setelah menerima maklumat berkenaan menyerbu ke sebuah rumah kosong berhampiran lokasi kejadian sebelum berjaya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan, polis turut menemui semula senjata api berkenaan bersama 48 butir peluru dan barang-barang mangsa yang dilaporkan hilang," katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap yang dipecahkannya sebelum melarikan barang-barang mangsa.

Katanya, suspek kini masih ditahan reman selama empat hari di lokap Balai Polis Raub bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan