Hukuman Terhadap Pakar Bedah Saraf Malaysia Dikurangkan

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Hukuman terhadap seorang pakar bedah saraf Malaysia yang mengadakan pesta seks bersulam kokain bersama beberapa wanita, dikurangkan selepas sebuah mahkamah di Sydney mendapati seorang daripada wanita terbabit menggunakan dadah berkenaan secara sukarela, yang kemudian meragut nyawanya.

Akhbar Daily Telegraph melaporkan hukuman penjara dua tahun tiga bulan terhadap Suresh Surendranath Nair, 44, yang mengaku bersalah pada akhir 2010 terhadap tuduhan membunuh dan membekalkan kokain kepada Victoria McIntyre, dikurangkan kepada enam bulan.

Berikutan itu, Nair layak mendapat parol pada Julai 2014 setahun lebih awal daripada yang ditetapkan pada mulanya oleh Mahkamah Daerah Sydney.

McIntyre meninggal dunia selepas menggunakan dadah berkenaan di pangsapuri Nair di Sydney pada Februari 2009.

"Ia melibatkan perbuatan membekal...dengan kedua-dua pelaku kesalahan dan penerimanya ialah orang dewasa. Perkara demikian sesuatu yang biasa dan jarang dibawa ke mahkamah," menurut keputusan penghakiman. Penghakiman itu berkata Nair menggunakan dadah berkenaan "untuk menaikkan nafsunya" dan dia mungkin memberi dadah itu kepada McIntyre dengan harapan wanita itu mengalami keadaan serupa.

Penghakiman berkenaan bagaimanapun berkata hukuman yang diputuskan terhadap Nair oleh Mahkamah Daerah itu bukan berkaitan kematian wanita berkenaan, tetapi hanya kerana memberi dadah itu kepadanya.

Nair bagaimanapun gagal dalam usahanya mendapatkan pengurangan hukuman bagi kesalahan membunuh seorang lagi wanita, Suellen Domingues-Zaupa.

Dalam perbicaraan pada 2010, mahkamah diberitahu bahawa Zaupa, yang meninggal dunia kerana terlalu banyak dibekalkan kokain, mungkin tidak mengalami nasib itu sekiranya Nair segera memanggil ambulans dan memberi bantuan awal kepadanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan