Polis Bebas 32 Rakyat Filipina Tiada Kaitan Pengganas

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Polis membebaskan 32 rakyat Filipina yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu selepas dirujuk Jabatan Peguam Negara setelah mendapati tiada elemen pengganas dengan kumpulan pengganas bersenjata Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua mereka dihantar pulang menaiki bot yang dikenali sebagai 'kumpit' diiringi anggota polis sehingga ke perairan negara jiran itu, pada kira-kira 5 petang Khamis.

"Setelah disoal siasat mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengganas," katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat beliau yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis berkuat kuasa pada Jumaat.

Hamza yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah kekal dengan jawatan sekarang memakai pangkat Komisioner Polis.

Beliau berkata pasukan keselamatan juga mengembalikan kesemua senjata yang dirampas seperti senjata api, barong dan kapak serta beberapa dokumen yang dibawa kumpulan lelaki itu.

Sebelum ini dilaporkan kesemua lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72 tahun itu menaiki sebuah bot ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi Isnin lepas.

Hamza turut memberi jaminan keadaan di Sabah terkawal dengan usaha penekanan mengekang pergerakan keluar masuk pihak luar ke negeri ini.

"Tiada juga berlaku pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah dan kita berjaya menyekat kawalan keselamatan masuk ke negeri ini daripada pihak-pihak luar yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.

Terdahulu, ketika berucap Hamza berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merupakan satu cabaran yang realiti kepada pasukan polis.

"Dari segi jangka masa pendek pembukaan balai polis baharu dibuat di kawasan ESSCOM seperti Pulau Bum-Bum, Semporna; Pulau Gaya, Kota Kinabalu dan Felda Sahabat sementara jangka masa panjang kita memerlukan sokongan rakyat dalam semangat keharmonian untuk mengembalikan keamanan di negeri ini," katanya. Pada majlis itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada 12 pegawai kanan polis yang bertukar atau dinaikkan pangkat menerajui pegawai utama ESSCOM termasuk Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman DCP Datuk Abd Rashid Harun dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Bukit Aman DCP Datuk Ahmad Nadzer Nordin.

Abdul Rashid dilantik Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam manakala Ahmad Nadzer dilantik Pengarah Bahagian Perisikan 1. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan